BANGI 18 JAN. – Felda United yang kembali ke Liga Super musim 2019, nekad menampilkan 60 peratus muka baharu daripada kalangan warga Felda dalam senarai 26 pemain mereka dan lebih selesa mengambil sikap berahsia berhubung sasaran pasukan itu.
Pengendali Felda United, Nizam Jamil berkata, skuad bimbingannya diperkuatkan dengan pemain dalam kalangan generasi Felda yang pernah beraksi pada Liga FAM dan Piala Presiden, selain mengetengahkan empat awang import dari Brazil, Jepun dan Bahrain.
“Skuad ini saya anggap seimbang. Disebabkan liga ini panjang masanya, ada pemain luar Felda yang berpengalaman turut diperlukan. Ada KPI (indeks prestasi utama) diletakkan pihak pengurusan buat saya, tetapi saya tidak boleh kongsikannya, itu antara saya dan mereka.
“Tidak seperti pasukan-pasukan lain yang meletakkan sasaran satu piala, saya mahu membina pasukan menjadi yang lebih baik pada masa akan datang. Kami akan cuba beri tentangan kuat dan hadapi satu persatu perlawanan dengan meraih keputusan,” katanya.
Dia berkata demikian pada majlis memperkenalkan empat pemain import iaitu Thiago Junio De Aquino, Jocinei Schad, Kei Ikeda dan Jaycee John Okwunwanne di Institut Semarak Felda, hari ini.
Lima tonggak berpengalaman tempatan yang juga bekas pemain kebangsaan turut mengukuhkan juara Liga Perdana 2018 itu, pemain tersebut terdiri daripada Hadin Azman, D. Christie Jayaseelan, S. Chanturu, Jasazrin Jamaludin dan Norazlan Razali.
“Sebenarnya bermain tanpa ramai pemain senior atau yang berstatus bintang, tekanannya lebih rendah (apatah lagi) jika gagal menyerlah. Ini satu penyelesaian terbaik (meletakkan ramai pemain muda) kerana pengurusan kelab sedang mengatasi kekangan kewangan,” kata Nizam.










