PASUKAN berstatus kelab, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) hampir melengkapkan skuadnya untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas mengesahkan dua pemain import baharu, Gabriel Guerra dan Chan Vathanaka semalam.
Kedua-dua pemain tersebut tidak asing lagi dalam saingan Liga M kerana Guerra pernah bersama PKNS FC selama dua musim sebelum berhijrah ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Vathanaka memiliki pengalaman bersama Pahang tahun lalu.
Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal berkata, kehadiran kedua-dua pemain ini bakal memantapkan jentera serangan pasukan memandangkan kualiti penyudah berbisa yang mereka miliki.
“Saya gembira apabila kami berjaya menandatangani dua pemain import yang memiliki kelebihan tersendiri. Guerra dan Vathanaka pernah beraksi pada Liga M dan tidak perlu menunggu lama untuk menyesuaikan diri.
“Cuma, mereka perlu segera mencipta persefahaman bersama rakan-rakan sepasukan yang lain memandangkan mereka telah dikumpulkan lebih awal sebelum ini.
“Saya rasa pasukan ini sudah hampir lengkap tetapi saya tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan pemain import kelima di posisi pertahanan sebelum jendela perpindahan ditutup,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Sukan PKNS, Petaling Jaya semalam.
Terdahulu, skuad The Red Ants menandatangani penyerang import berbisa yang sebelum ini mewakili pasukan MIFA, Kpah Sherman selain mengekalkan seorang pemain import musim lepas, Romel Morales.
Sementara itu, Vathanaka yang juga pemain antarabangsa Kemboja berharap dapat membantu pasukan PKNS FC menduduki tangga keempat Liga Super pada musim ini.
“Saya gembira untuk kembali ke Malaysia dengan menyertai PKNS FC. Saya percaya kualiti yang dimiliki oleh barisan pemain serta sentuhan jurulatih berpengalaman mencerahkan peluang pasukan untuk berada di kedudukan keempat teratas liga tahun ini,” katanya.










