TIADA siapa mampu menolak takdir. Jika itu sudah suratan hidup, walau berat sekali pun ujian yang datang, hidup perlu diteruskan. Jika dahulu mampu mengurus diri sendiri tanpa bantuan orang lain, kini takdir yang menimpa membuatkan segala perancangan hidup terpaksa diubah bagi menyesuaikan keadaan dengan diri yang ‘baru’.
Itulah yang dialami oleh Muhammad Amer Ashraf Sahid, 26. Dia tidak pernah menyangka kemalangan jalan raya pada 2014 menyebabkannya terpaksa melalui kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU).
Apa tidaknya, kemalangan dilanggar lari menyebabkan dia bersama motosikalnya tercampak ke dalam longkang. Ekoran malapetaka itu, dia koma selama beberapa hari di hospital.
“Sepanjang tempoh rawatan, sebanyak tujuh kali pembedahan dijalankan di bahagian tengkorak depan yang pecah akibat hentakan kuat ketika kemalangan,” katanya kepada S2.
Pembedahan tersebut amat berisiko kerana melibatkan otak. Setelah sebulan kaku di atas katil, akhirnya kelopak matanya kembali terbuka untuk melihat dunia.
Impak daripada kemalangan tersebut, sebahagian kepalanya di bahagian dahi kanan mempunyai lekuk. Mata kanannya tidak berfungsi. Lebih memilukan, deria baunya juga sudah tiada.
Memang tragis apabila tragedi tersebut berlaku ketika dia masih belajar dalam jurusan seni bina di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Akibat kecederaan dan kecacatan yang menimpanya, Muhammad Amer tidak dapat meneruskan pengajian.
Tetapi, berbekalkan ilmu dan pengalaman yang sempat ditimbanya ketika belajar dahulu, anak muda yang tabah ini menjalankan perkhidmatan melukis pelan secara bebas (freelance).
Rezekinya tidak terhenti di situ sahaja apabila Muhammad Amer bertemu jodoh dengan seorang gadis yang sanggup menerima dia seadanya. Hasil perkahwinan dengan Nor Ainaa Abdul Malek , 23, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Raudhatul Mariyah, 2, dan Ukhail Rasyad, setahun.
Dalam pada itu, isterinya itu tidaklah sihat sangat. Nor Ainaa menghidap penyakit lelah yang kronik. Malah kedua-dua anak mereka turut didiagnosis sebagai penghidap penyakit asma kronik.
“Sebelum ini kami mempunyai sebuah kereta. Namun kereta itu terpaksa dijual atas desakan hidup. Kini saya hanya bergantung kepada sebuah motosikal untuk bergerak ke sana sini bagi urusan seharian.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh bergerak jauh memandangkan kondisi mata kanan yang buta serta saraf otak yang tidak stabil.
“Masalah ini boleh menyebabkan pelbagai perkara tidak diingini ,” katanya yang kini menyara keluarga dengan menjadi agen coway.
Menyedari kehidupan keluarga yang susah, Nor Ainaa tidak berdiam diri. Ibu muda ini turut sama berjuang untuk menyara kehidupan keluarga. Dia kini aktif menjual pakaian secara dropship atas talian (online). Dengan pekerjaan itu, dapatlah dia menerima komisen sebanyak RM50 seminggu, bergantung kepada permintaan pelanggan.
“Sebelum ini ada dermawan membantu kami untuk menjalankan perniagaan pisang goreng berdekatan rumah, tetapi disebabkan penyakit asma sering menyerang dan kedua-dua anak pula perlukan jagaan rapi, kami tidak dapat meneruskan perniagaan tersebut,” tambahnya.
KEMALANGAN tersebut menjadi kenangan paling pahit yang terpaksa ditempuh Muhammad Amer. Begitupun, dia tetap bersyukur kerana isteri, keluarga, jiran tetangga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) banyak menghulurkan bantuan.
“Ia bukan sekadar kemalangan biasa, tetapi berkisar tentang kepayahan saya untuk menyara keluarga dan menjalani rawatan susulan berikutan masalah keupayaan untuk bergerak dan kewangan,” katanya.
Kali terakhir Muhammad Amer menjalani rawatan adalah pada Mei 2015 dan selepas itu dia tidak menerima sebarang rawatan dan ubat sehingga September 2018.
Akibat situasi tersebut, Nor Ainaa memberitahu, suaminya kerap diserang sawan ketika tidur dan itulah perkara yang sering terjadi akibat tidak mendapat rawatan.
“Sebelum ini kami pernah memohon bantuan zakat dan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Namun, permohonan itu lambat diproses kerana tiada laporan kesihatan dan untuk mencari semula rekod kesihatan mengambil masa.
“Satu-satunya cara yang kami lakukan adalah menghubungi doktor yang merawat suami saya dahulu iaitu pakar neurologi KPJ Damansara, Datuk Dr. Zurin Adnan Abdul Rahman. Masalah lain pula timbul iaitu kos.
“Kami tidak mempunyai wang simpanan yang banyak untuk meneruskan rawatan. Ketika kemalangan itu berlaku, suami dirawat di KPJ Damansara kerana ketika itu kos rawatan ditanggung oleh syarikat tempat bapa suami bekerja,” katanya.
KEPAYAHAN hidup pasangan tersebut berjaya dihidu oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muslim Volunteer Malaysia (MVM) yang kemudian berusaha mencari dana bagi membiayai kos hidup dan perubatan keluarga ini.
Eksekutif Unit Salam MVM, Nur Adnin Abdul Razak berkata, langkah pertama yang dilakukan adalah menghubungi LZS bagi memaklumkan tentang masalah Muhammad Amer sekeluarga secara terperinci.
Hasilnya, pihak LZS bersetuju untuk datang ke rumah Muhammad Amer bagi tujuan bancian maklumat keluarga sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan.
“Buat sementara ini, selain memerlukan laporan kesihatan daripada pakar, Nur Ainaa dan Muhammad Amer juga memerlukan beberapa barangan lain untuk meneruskan hidup.
“Antara yang diperlukan adalah gas inhaler untuk Nur Ainaa dan kedua-dua anaknya yang lelah, susu, lampin pakai buang, barangan asas dan kelengkapan dapur seperti tong gas, meja dan rak dapur gas,” katanya.
Apa yang lebih menggembirakan Muhammad Amer apabila LZS mengunjungi rumah mereka untuk membuat bancian maklumat keluarga.
Nur Adnin berkata, LZS bukan hanya bersedia membantu mereka, bahkan turut menyalurkan bantuan makanan dan keperluan seharian buat keluarga itu.
“Pihak LZS menyatakan bahawa mereka akan menanggung kos untuk memperoleh laporan kesihatan keluarga ini. Tarikh temu janji yang ditetapkan oleh pakar adalah pada September lalu.
“Dalam masa sama, MVM akan terus memantau perkembangan keluarga tersebut termasuk usaha untuk memastikan mereka mempunyai sumber pendapatan tetap,” katanya.











