KUALA LUMPUR 18 Jan. – Harga saham DRB-Hicom Bhd. yang ditutup 5 petang ini susut 12 sen kepada RM1.67 sesaham dengan pasaran modal RM3.23 bilion susulan saman sivil yang diterima anak syarikat tidak langsungnya, Proton Automobiles (China) Ltd. (PACL) daripada Goldstar Heavy Industrial Co. Ltd.
Semalam, DRB-Hicom dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, PACL berdepan saman sivil yang menuntut sebanyak 860.61 juta renminbi (RM522.9 juta) di Mahkamah Tinggi Guangdong, China.
PACL dan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd., (PONSB) dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan yang dihantar oleh Goldstar. Kedua-dua anak syarikat Proton itu dikehendaki hadir ke mahkamah pada 9 Julai ini.
Mengulas tentang perkara itu, firma penyelidikan, PublicInvest Research berkata, jika pembelaan tersebut gagal, ia akan mengakibatkan kesan kewangan yang ketara ke atas kumpulan.

“Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran kami sehingga wujud petunjuk baharu dan pada masa sama menyatakan ia mempunyai risiko kewangan yang berpotensi besar.
“Kami mengekalkan saranan ‘cemerlang’ ke atas DRB tetapi dengan sasaran harga yang lebih rendah pada RM2.10 sesaham memandangkan kami telah meningkatkan faktor diskaun kami berikutan ketidaktentuan pada masa sekarang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
PublicInvest Research bagaimanapun masih positif ke atas prospek jangka panjang kumpulan berkenaan, berdasarkan kepada pemulihan Proton.
Tuntutan adalah berkaitan kontrak yang dimeterai antara anak syarikat 50.1 peratus Proton, Lotus Group International Ltd. (LGIL) dan Goldstar pada 17 April 2015 untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) Goldstar Lotus Automobile Co. Ltd. (GLAC).
Proton memiliki kepentingan di dalam GLAC sebanyak 40 peratus, LGIL (10 peratus) dan Goldstar (50 peratus).
GLAC dirancang untuk mengeluar dan menjual kereta serta alat ganti Lotus, selain menyediakan perkhidmatan selepas jualan di China.
Bagaimanapun, selepas gagal mendapatkan lesen pengeluaran pada tarikh akhir 31 Disember 2017, kontrak JV itu dibatalkan pada 22 Januari tahun lalu. Berikutan itu, GLAC tidak dapat memulakan operasi perniagaannya.
Jelas DRB-Hicom, syarikat itu dan penasihat undang-undangnya sedang meneliti tuntutan yang dibuat oleh Goldstar dan akan mengambil langkah yang perlu untuk mempertahankannya.










