Sharapova kejutkan Wozniacki - Utusan Malaysia

Sharapova kejutkan Wozniacki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE, 18 Jan. – Maria Sharapova melakar kejutan ke atas juara bertahan, Caroline Wozniacki untuk meneruskan kemaraan ke peringkat 16 terbaik pada kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Australia dan ratu tenis Rusia itu menyertai Roger Federer yang mempamerkan aksi klinikal sebelum menyingkirkan pencabarnya, hari ini.

Pemenang lima kali gelaran Grand Slam, Sharapova yang bergelut dengan prestasi sebaik kembali daripada penggantungan doping pada 2017, beraksi agresif yang sekali gus menamatkan impian bintang Denmark itu me­rangkul gelaran utama buat kali kedua.

Sharapova mencatat kemenangan 6-4, 4-6, 6-3 dalam perlawanan yang berlangsung di bawah bumbung bertutup di Rod Laver Arena dan dia bakal menghitung pertemuan de­ngan pemain muda yang sedang meningkat naik dari Australia, Ashleigh Barty.

“Saya fikir tahap permainan agak tinggi. Saya sedar perlawanan ini akan berlangsung sengit. Pertemuan seperti ini yang saya selalu praktikkan dalam latihan dan ia benar-benar berbaloi pada ketika saingan berada dihujung aksi,” kata juara 2008 itu yang diletakkan sebagai pilihan ke-30.

Sementara itu, legenda Switzerland, Federer turut beraksi cemerlang menentang pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz apabila menang 6-2, 7-5, 6-2 untuk berada di landasan bagi memburu gelaran ketiga berturut-turut di Melbourne Park dan Grand Slam ke-21.

Rafael Nadal pula yang menentang pemain remaja, Alex de Minaur tidak berdepan masalah mengalahkan lawannya itu 6-1, 6-2, 6-4. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×