KUALA LUMPUR – Pemenang pingat gangsa Kejohanan Badminton Dunia 2018, He Bingjiao menjadi mangsa terbaharu pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei pada kejohanan Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Jin Wei menyingkirkan pemain China itu di peringkat suku akhir sebentar tadi selepas menang mudah 21-15, 21-16 dalam tempoh 39 minit.
Kata Jin Wei, aksi terburu-buru yang ditampilkan Bingjiao nyata memberi kelebihan buatnya apabila banyak mengutip mata percuma hasil kesilapan pemain lawan.
“Pada set pertama, dia dilihat seperti terdesak untuk kalahkan saya, jadi ia memberi peluang kepada saya untuk mengutip banyak mata percuma,” kata Jin Wei sejurus tamat perlawanan.
Pemain berusia 19 tahun itu akan membuat perhitungan dengan pemain No.8 dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon pada aksi separuh akhir esok. – K! ONLINE










