GUA MUSANG – UMNO harus menolak enam Ahli Parlimen yang sudah keluar parti itu sekiranya mereka ingin membuat pusingan ‘U’ memohon semula untuk masuk menjadi ahli UMNO.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, mereka yang sudah keluar parti itu tidak perlu lagi dipujuk untuk kembali ke pangkuan UMNO.
Katanya, ini kerana banyak pemimpin sama ada atasan, bawahan dan ahli UMNO akar umbi yang setia dengan parti itu tidak setuju mereka diterima semula.
“Memang ada juga mereka yang setuju, tetapi lebih ramai lagi yang tidak setuju untuk UMNO terima semula mereka menjadi ahli parti.
“Ini kerana bukan semua orang boleh masuk ikut suka, ini adalah perjuangan yang perlu pemimpin jujur dan setia kepada parti,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pemimpin Masyarakat Orang Asli di Bukit Chekati, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Ariffin.
Desas-desus sebelum ini mengatakan enam Ahli Parlimen yang umum keluar UMNO pada 14 Disember tahun lalu membuat permohonan semula untuk menjadi ahli parti.
Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya.
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, ketiadaan enam ahli parlimen itu dalam UMNO tidak memberi apa-apa kesan kepada parti itu yang bertunjangkan ahli akar umbi.
Katanya, penyokong UMNO di peringkat akar umbi masih kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Tengku Razaleigh yang turut membuat perjumpaan dengan kira-kira lebih 50 orang wakil pemimpin Orang Asli di daerah ini turut menyifatkan kekalahan BN itu bersifat sementara dan yakin dengan sokongan ahli UMNO akar umbi boleh mencapai kemenangan semula PRU akan datang.
“Kita akui kekalahan BN pada PRU lalu itu atas kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Walaupun Najib dah jatuh, tetapi semangat UMNO masih berkobar-kobar dalam kalangan rakyat dan ahli UMNO. Kita rasa ada harapan nak dapat balik kuasa memerintah.
“Sekarang ini kita lihat ramai yang gelisah dengan pemerintahan sekarang,” katanya. – K! ONLINE









