KUALA LUMPUR – Malaysia Humanity For The People Hero (My Hope Hero) dengan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia iaitu Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE), Volunteering Trip Malaysia (VTM), Restoran Olive by Ash-Sham akan menghantar 10 orang termasuk selebriti dan sukarelawan dari Malaysia ke Palu bagi melaksanakan bantuan fasa ketiga di sana.
Menurut Presiden My Hope Hero, Nadia Rahmat, misi itu turut mendapat kerjasama daripada wakil NGO Indonesia iaitu Golden Future Foundation (GF), Indonesia Muda (IM) dan Onsight Foundation (OF) yang membantu dari segi koordinasi dan logistik di sana.
“Sukarelawan dijangka berlepas pada 19 Januari (esok) sehingga 24 Januari 2019, dengan melibatkan tiga orang selebriti yang mempunyai pengaruh besar dalam bidang masing-masing.
“Mereka yang terlibat adalah Fara Fauzana (Pengacara), Zara Zya (Pelakon) dan Jihan Muse (Pelawak). Tim ‘Funtastiq 4’ ini mengenengahkan tema pemerkasaan wanita dalam dunia kebajikan dan kemanusiaan,” katanya dalam suatu kenyataan akhbar.
Tambah Nadia lagi, selain daripada tim selebriti, misi itu juga dijayakan dengan penglibatan pegawai perubatan dan sukarelawan menjadikannya semua seramai 10 orang.
“Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah memasak di dapur umum bersama mangsa bencana, kempen kebersihan, pemeriksaan kesihatan, pemulihan trauma, bantuan ekonomi, bantuan barangan asas, bantuan pembinaan masjid dan sebagainya.
“Sasaran untuk Misi ke Palu ini adalah sebanyak RM100,000, namun jumlah terkini yang telah dikumpul adalah sebanyak RM30,000,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nadia memberitahu, misi itu juga ingin memberi peluang kepada suri teladan berkenaan untuk melakukan kebajikan dan kerja amal disamping menarik minat anak-anak muda di dalam bidang kesukarelawan.
“Terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan penaja kami iaitu syarikat penerbangan rasmi, AirAsia, penaja pakaian rasmi, JOHO dan Restoran Dapur Penyet serta penaja modem WiFi rasmi, Travel Recommends kerana bersama-sama menyokong misi kemanusiaan ini,” katanya.
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Misi Dapur Kaseh buat Sulawesi bersama ‘Funtastiq 4’ boleh layari laman sosial Instagram dan Facebook @myhopehero dan @bekindmove.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh dibuat menerusi akaun bank Maybank: 5623 4856 6865 (Malaysia Outreach Volunteer Experience) dengan rujukan (Ref: Palufasa3). – K! ONLINE










