“Saya tergantung serta berpusing bersama stretcher (pengusung) betul-betul di tepi gaung ketika turun menggunakan kabel dari helikopter. Dalam situasi cemas itu saya hanya berserah kepada Allah agar tidak terjatuh kerana ada nyawa yang perlu diselamatkan”.
Itu antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan oleh penyelia Pasukan Khas Udara Bomba (Paskub), Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Asri Harun sepanjang 18 tahun berkhidmat dalam pasukan elit bomba tersebut.
Menceritakan kembali peristiwa itu, Asri berkata, insiden tersebut berlaku kira-kira 10 tahun yang lalu semasa dia dikerahkan untuk mengikut operasi memadam kebakaran hutan di Gunung Kenderung, Gerik, Perak.
Menurutnya, ketika itu dia bersama rakannya datang lebih awal untuk melakukan operasi pemadaman namun, pada masa yang sama dia menerima arahan untuk menyelamat seorang wanita yang terperangkap di puncak Gunung Irau, Cameron Highlands, Pahang.

“Wanita itu dilaporkan terkandas di puncak gunung kerana tidak boleh meneruskan perjalanan turun disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi dan perlu dibawa ke hospital menggunakan helikopter.
“Saya sepatutnya bergerak ke lokasi menyelamat pada hari Khamis tetapi disebabkan cuaca yang kurang baik, operasi ditangguhkan ke hari Jumaat,” katanya.

Selesai solat Jumaat, Asri memberitahu, dia mula bersiap sedia bersama rakannya dengan menaiki helikopter Mi-17 yang dikendalikan oleh Kapten Arif dan Norman.
Jelasnya, dia akan menggunakan teknik winching iaitu turun menggunakan kabel memandangkan operasi akan dijalankan di puncak gunung dengan ketinggian kira-kira 6,000 kaki.

Sebaik sahaja tiba di lokasi katanya, dia mula melakukan persediaan untuk turun bersama pengusung yang akan digunakan bagi membawa mangsa naik ke helikopter sementara mangsa tersebut telah bersiap sedia dengan bantuan pasukan sokongan yang terlebih dahulu sampai dengan mendaki gunung.
Namun ujarnya, ketika turun, angin tiba-tiba bertiup kencang menyebabkan dia dan pengusung yang dibawa berpusing dengan laju.
“Saya cuba bertahan dalam keadaan berpusing-pusing demi menyelamatkan wanita tersebut dan dalam keadaan angin kencang, saya tersasar dan termasuk ke kawasan pokok betul-betul di tepi gaung sebelum pasukan sokongan yang berada di bawah menarik saya.
“Alhamdulillah, selepas selamat turun, saya terus melakukan kerja menyelamat dan dalam masa seminit, mangsa diangkat ke dalam helikopter sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan,” jelasnya.
Oksigen terhad di kawasan tinggi
SELAIN risiko cuaca tidak menentu yang boleh mengganggu anggota Paskub untuk turun dari pesawat, satu lagi cabaran ialah operasi di kawasan tinggi yang boleh mengganggu sistem pernafasan kerana masalah kandungan oksigen yang rendah.
Anggota Paskub, PBK II, Abdul Aziz Yaacob antara yang pernah berhadapan dengan cabaran menjalankan operasi di kawasan yang mempunyai kandungan oksigen terhad.
Menurut Abdul Aziz, ketika itu negara digemparkan dengan gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu, Sabah hingga meragut beberapa nyawa pada 2015 dan dia perlu turun dari helikopter pada ketinggian 11,200 kaki di puncak Gunung Kinabalu.

“Pada masa itu, tugas saya sebagai seorang anggota senior medic (perubatan) dan perlu membawa naik mayat yang terperangkap di puncak.
“Saya perlu bekerja dengan cepat dan dalam masa yang sama perlu melakukan pemeriksaan untuk memastikan mayat-mayat yang dibawa naik perlu bebas daripada sebarang jangkitan,” jelasnya.
Abdul Aziz memberitahu, purata masa untuk pemeriksaan terhadap satu mayat ketika itu ialah selama seminit sahaja dan jika masa lama diambil, dia berisiko untuk menghadapi kekurangan oksigen.
“Dalam operasi sebegini, kemampuan bekerja pantas dalam tekanan dan kepakaran seseorang anggota adalah perlu untuk melancarkan operasi menyelamat.
“Sebab itu anggota Paskub perlu menjalani pelbagai latihan yang menguji tekanan mental anggota kerana jika mental seorang anggota Paskub itu lemah, mereka akan disingkir lebih awal,” tegasnya.

Menyifatkan dirinya sebagai baharu walaupun sudah 10 tahun bergelar anggota Paskub, Pegawai Bomba Norfaizal Rizal Mohamad mengakui bukan semua operasi dilakukan boleh dikategorikan sebagai berjaya.
Ujar Norfaizal, ada ketikanya operasi untuk menyelamat dianggap gagal kerana disebabkan faktor cuaca, keadaan muka bumi dan situasi helikopter untuk menyelamat.
“Antara operasi yang pernah saya sertai ialah kes kemalangan helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei 2016 yang menyaksikan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi ketika itu, Datuk Noriah Kasnon, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan empat lagi mangsa meninggal dunia.

“Operasi itu saya anggap selesai dengan lancar tetapi ada juga operasi yang sukar diselesaikan sebagai contoh di kawasan bukit dan gunung. Kalau awan dan kabus terlalu tebal, memang sukar mencari puncak.
“Begitu juga dengan keadaan sekeliling melibatkan pokok yang terlalu tinggi. Anggota Paskub boleh turun tetapi perlu mengikut panjang capaian kabel dan jika terlalu tinggi, memang tidak boleh turun,” jelasnya.










