KENINGAU 11 Jan. – Kerajaan Sabah akan meneliti dengan mendalam cadangan untuk menyerahkan pengurusan projek Pusat Ternakan Bersepadu (KILC) kepada pihak swasta kerana pusat ternakan itu sebenarnya dilihat memberikan banyak manfaat kepada para penternak dan juga negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara penting yang perlu diperhalusi adalah bagaimana kerajaan dapat membantu para penternak sekiranya projek itu diserahkan kepada pihak swasta untuk diuruskan.
“Apa sahaja yang kita mahu usahakan adalah untuk kepentingan rakyat… jangan ada masalah terus jual, kerana ia dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negeri,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di beberpa lokasi berkaitan perindustrian di sini hari ini.
Terdahulu semasa Mohd Shafie membuat lawatan di KILC, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Datuk Dr Mohd Yaakub Johari dalam ucapan ringkasnya mencadangkan agar kerajaan menyerahkan KILC kepada pihak swasta bagi menentukan kejayaan jangka panjang projek berkenaan.
Kemajuan KILC yang beroperasi sejak 2013 di atas tapak seluas 834 hektar di Pekan Kecil Sook, kira-kira 30km dari sini, sebelum ini dilaporkan merosot.
Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya ke beberapa pusat industri pertanian dan penternakan dan kayu kayan di daerah ini, Mohd Shafie berkata pemain industri di daerah ini perlu meningkatkan keupayaan dengan menghasilkan produk baharu.
“Lawatan saya pada hari ini cukup bermanfaat dan saya lihat pemain industri di sini memberikan manfaat yang besar kepada rakyat dengan mwwujudkan banyak peluang pekerjaan.
Beliau seterusnya meminta para pemain industri di Sabah khususnya dalam industri kayu kayan agar mengembangkan operasi syarikat masing-masing dengan mewujudkan industri hiliran dalam usaha meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat. – BERNAMA










