KUALA LUMPUR: Peruntukan undang-undang sedia ada tidak menetapkan secara spesifik berkenaan siapakah yang berhak mengurus harta seseorang itu apabila meninggal dunia.
Ini bermakna sesiapapun sama ada waris atau bukan boleh menguruskannya dengan syarat wajib mengikut peruntukan pembahagian dalam kaedah faraid.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menjelaskan, merujuk kepada kes Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya, bapa si mati, A.R. Badul berhak mendapat satu per lapan daripada harta pusaka peninggalan anaknya.
Beliau berkata, isteri Allahyarham, Nour Shafinar Harun juga akan mendapat satu per lapan manakala selebihnya merupakan hak anak lelaki (dua bahagian) dan anak perempuan (satu bahagian).
“Satu perkara lagi jika ada insuran konvensional, undang undang syariah tidak mengiktiraf manfaat insuran tersebut sebagai harta pusaka si mati kerana ia tidak patuh syariah. Harta yang diiktiraf hanyalah premium yang dibayar dan ia boleh difaraidkan.
“Kalau takaful manfaatnya boleh difaraidkan, isteri juga boleh menuntut harta sepencarian daripada harta yang ditinggalkan oleh suaminya,” katanya ketika dihubungi semalam (Selasa).
Semalam Utusan Malaysia melaporkan pelakon dan pelawak, A.R. Badul menolak dakwaan mahu membolot harta anaknya dengan menjelaskan dia hanya mahu menuntut haknya sebagai bapa.
A.R Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 71, berkata, buat masa ini dia tidak kisah jika ada pihak yang mengambil kesempatan mengecam dirinya memandangkan dia hanya memikirkan keadaan cucu-cucunya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai siapakah yang paling layak menjadi pemegang amanah kepada anak-anak yang masih belum cukup umur, Zainul Rijal berkata, berdasarkan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, datuk lelaki sebelah bapa berada di turutan pertama orang yang berhak kepada jagaan.
Ujarnya lagi, ia kemudian disusuli dengan wasi yang dilantik menurut wasiat bapa, wasi kepada wasi bapa, wasi datuk lelaki sebelah bapa dan yang terakhir ialah wasi kepada wasi datuk sebelah bapa.
“Dalam hal ini ia perlu dirujuk Seksyen 88 dan perlu mendapatkan perintah mahkamah. Dengan syarat bahawa dia adalah seorang Islam, dewasa, siuman dan boleh dipercayai,” jelasnya,
Wasi bermaksud orang yang dilantik untuk menunaikan wasiat. – UTUSAN










