PUTRAJAYA 8 Jan. – Kementerian Kewangan mendesak MCA untuk memulangkan semula dana sebanyak RM16.5 juta yang didakwa diterima parti itu daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kepada pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menterinya, Lim Guan Eng berkata, selain MCA, parti-parti lain yang dikatakan menerima dana daripada 1MDB turut digesa untuk berbuat demikian.
Menurutnya, dana sebanyak itu secara jelas berasal daripada 1MDB meskipun kepimpinan MCA terdahulu mendakwa tidak mengetahui dari mana sumbernya.
“Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong tidak boleh sekadar cuci tangan dalam isu dana RM16.5 juta dalam akaun MCA. Tidak boleh berkata bahawa pada waktu itu beliau bukan presiden atau timbalan presiden parti.
“Beliau tidak boleh bersikap seperti ini sebaliknya perlu memikul tanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Pondok Berdaftar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.
Guan Eng merujuk kepada wawancara Ka Siong seperti disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam yang dipetik berkata, sejak beliau menjadi Timbalan Presiden MCA bermula 21 Disember 2014, tidak ada satu sen pun duit 1MDB yang diterima parti berkenaan.
Laporan media sebelum ini turut menyebut bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr. Chua Soi Lek pada Oktober tahun lalu mengakui BN telah mengagihkan secara keseluruhan RM470 juta kepada komponen parti itu menjelang PRU-13 dengan MCA merupakan antara penerimanya.
Guan Eng berkata, Ka Siong perlu mengikut aturan undang-undang dan memulangkan duit berkenaan kerana bekas Menteri di Jabatan Perdana itu tidak boleh lari dan bersembunyi dalam hal tersebut.
“Saya berpendapat, pihak 1MDB tahu apa hendak dibuat terhadap MCA kelak… Jadi, kita berharap parti itu mengambil iktibar terhadap kekalahan BN pada pilihan raya lalu dan berterus-terang tentang isu 1MDB. Ambillah tanggungjawab penuh. Kenapa mahu sembunyi dan lari?” soalnya. – UTUSAN ONLINE










