Siti Nurhaliza bakal timang zuriat kedua - Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza bakal timang zuriat kedua

SITI NURHALIZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI, ada sesuatu yang istimewa tentang Disember sehinggakan penyanyi kesayangan rakyat Malaysia ini memilih untuk memulakan hari pertama di bulan ini berkongsi berita gembira dengan semua penyanjung tegarnya.

Selain menghadiahkan peminat dengan kehadiran video muzik terbaru berjudul Kuasa Cintamu yang ditayangkan secara rasmi pada pukul 9 malam tadi, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin juga bagaikan ‘berhutang’ cerita sebenar dengan semua pihak yang menantikan berita yang satu ini.

Akhirnya mengaku dia kini sedang hamil empat bulan. Pengumuman oleh Siti Nurhaliza itu adalah berita paling dinantikan ramai.

Sementelah sejak dikurniakan Siti Aafiyah Khalid, dia sering ditanya mengenai keinginannya untuk menimang cahaya mata kedua.

Sudah tentulah wanita disegani ini sedar ramai yang sudah lama memasang mata melihat pada perubahan bentuk tubuhnya yang sedikit berisi dengan percikan seri seorang bakal ibu.

Masakan tidak, demikianlah riak keserian wajah yang sama ketika dia sedang hamil dengan Aafiyah kurang lebih tiga tahun lalu.

“Saya tahu ramai yang sedang berteka-teki, malah ada yang dapat agak cuma saya sahaja yang memilih jalan untuk berdiam diri.

“Alhamdulillah kini saya hamil empat bulan dan terima kasih kepada yang telah mendoakan selama ini,” katanya yang mungkin disambut dengan gemuruh oleh sebilangan yang menonton pengumuman itu secara langsung.

Jelas Siti Nurhaliza, ada sebab mengapa dia terpaksa mengunci mulut mengenai perihal itu.

Dia amat berjaga-jaga sepanjang proses kehamilan itu yang dilakukan menerusi proses rawatan kesuburan, In Vitro Fertilisation (IVF).

“Saya menjalani proses yang sama sebagaimana ketika berusaha untuk mendapatkan Aafiyah sebelum ini. Malah, pernah juga mengalami kegagalan yang kemudiannya membuatkan saya begitu bimbang.

“Jujurnya saya rasa 50-50. Aafiyah tentunya adalah satu rezeki terindah buat saya dan suami tetapi apabila Allah SWT mengurniakan rezeki kali kedua, gembira dan bersyukurnya bukan kepalang.

“Sebab sebelum ini pernah saya tertanya-tanya, adakah saya berpeluang lagi untuk memiliki zuriat? Bila dapat petanda positif ini, hanya Allah SWT sahajalah yang tahu perasaan saya,” kata penyanyi lagu Kau Kekasihku ini.

Menurut Siti Nurhaliza, dalam masa yang sama, dia juga menurut kata dan nasihat alim ulama yang berpesan agar berita gembira itu cuma disampaikan setelah usia kandungannya mencapai empat bulan.

 

SITI AAFIYAH teruja menanti kehadiran adindanya yang dijangka lahir pada April 2021.

PENGALAMAN BERBEZA

Ditanya mengenai perbezaan pengalaman ketika sedang hamilkan Siti Aafiyah dengan anak kedua kali ini, Siti Nurhaliza dalam nada tenang memberitahu dia tidak mengalami sebarang masalah untuk kandungan kedua ini.

Pun begitu, kehamilan kali ini membuatkan dirinya lebih cepat kepenatan. Barangkali kerana faktor usianya yang sudah menjengah ke angka 42 tahun.

“Betullah orang kata, kehamilan setiap anak itu berbeza-beza. Saya juga lebih beremosi sampaikan kalau menonton drama di kaca televisyen pun boleh menangis teruk,” katanya disulami gelak tawa.

Dalam pada itu, kata suri hati Malaysia ini, Siti Aafiyah juga seolah-olah sudah mengerti dengan kehadiran adindanya. Keterujaan anak kecil itu jelas terpancar dari relung matanya.

“Sesekali dia datang kepada saya dan mencium perut tanda sayangkan adiknya. Sekarang pun dia nampak lebih manja, saya boleh nampak perubahan itu.

“Sebab itu semasa live di Instagram, dia ada menunjukkan reaksi apabila melihat perut saya. Dari situ, orang mula berteka-teki dengan kehamilan saya,” katanya.

BULAN APRIL

Dijangka bersalin pada awal April tahun hadapan, penyanyi lagu Nirmala dan Siapa Tak Mahu ini mengaku begitu menjaga setiap perilaku dan gerak gerinya demi keselamatan bayi dalam kandungan.

Malah, pandemik Covid-19 yang masih belum memberi petanda untuk menghilang juga adalah satu sebab mengapa dia memilih untuk selesa berada di dalam kediamannya selain boleh memberi tumpuan pada kandungan termasuk tumbesaran Aafiyah, si bakal kakak.

“Tiada apa yang saya boleh katakan selain mengucapkan terima kasih buat semua pihak yang sentiasa menitipkan untuk saya.

“Sebagai ibu, tentunya saya mahukan agar kandungan ini membesar dengan sihat dan dikurniakan kemudahan ketika bersalin nanti. Doakan saya diberi kekuatan dan kesihatan yang baik ya,” katanya sambil tersenyum.

KLASIK ISTIMEWA

Dalam pada itu, barangkali ada yang tertanya-tanya mengenai keistimewaan sekeping gambar yang dimuat naik oleh Siti Nurhaliza dalam akaun Instagramnya.

Dibingkaikan dengan cukup bermakna, konsep klasik kemelayuan yang disuntik jelas menunjukkan wanita besi ini berdiri teguh di atas prinsip jati dirinya. Secocok dengan tarikh bermakna ini, dia umumkan tentang kehamilannya.

“Sebenarnya ini adalah sesi fotografi untuk produk saya, jadi bila ada kesempatan jadi apa kata kita bingkaikan sekali momen indah ini. Saya mahu konsep klasik dan istimewa untuk kehamilan kedua ini.

“Sempena juga pelancaran produk dan muzik video Kuasa Cintamu malam ini, jadi saya rasa tarikh ini sesuai untuk umum kehamilan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×