Soal keperibadian Melayu tidak dibincangkan - Rais - Utusan Malaysia

Soal keperibadian Melayu tidak dibincangkan – Rais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Dis. – Soal keperibadian orang Melayu dilihat tidak banyak dibincangkan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali ini sedangkan ia merupakan sebuah parti Melayu.

Tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Bersatu sebagai sebuah parti harus berjuang berasaskan budaya Melayu.

“Hanya seorang (pada perhimpunan ini) yang bercakap soal bahasa Melayu. Yang lain tidak ada.

“Saya sebagai pemerhati juga pengalamal budaya Melayu melihat ini harus ditekankan lagi tiket kemelayuan dan keperibumian. Ia tidak sampai ke tahap kita akan capai,” katanya ketika ditemui pemberita pada perhimpunan itu hari ini.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 bermula Jumaat dan berakhir hari ini diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Ditanya berhubung cadangan perwakilan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) semalam agar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dikembalikan semula di sekolah-sekolah, Rais memberitahu, semua pihak jangan terlalu cepat membawa cadangan seumpama itu.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, PPSMI merupakan sesuatu yang amat mendalam dan dikhuatiri oleh segelintir pihak sebelum ini.

“Ia perlu diberi penelitian di peringkat amali, iaitu di peringkat menjadikan masyarakat Malaysia masyarakat berkeperibadian Melayu dan kebangsaan ” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×