Polis tahan enam individu urus sindiket judi online - Utusan Malaysia

Polis tahan enam individu urus sindiket judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Taktik sebuah sindiket judi online yang menggunakan aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan Facebook untuk mencari pelanggannya terbongkar apabila enam individu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Taming, Batu 9 di sini semalam.

Dalam operasi yang bermula pada pukul 5.30 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah menahan tiga lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita Indonesia.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, sindiket tersebut turut mempromosikan iklan perjudian mereka melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggan secara rawak.

“Ketika serbuan, rata-ratanya sedang leka memancing pelanggan dan menerima pertaruhan dalam talian.

“Kesemua suspek telah diberikan nombor telefon oleh pengurus dan menghantar serta menghubungi pelanggan bagi mempromosikan perjudian tersebut kepada nombor-nombor yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Khaizam menambah, lima daripada suspek adalah warga tempatan manakala seorang lagi wanita berasal dari Indonesia.

“Polis telah merampas antaranya dua set komputer, 18 unit telefon bimbit, tiga keping kad debit, dua keping kad sim dan tiga buku cek bank.

“Sindiket dipercayai sudah beroperasi sejak dua bulan lalu,” ujarnya.

Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×