ISTANBUL – Presiden Recep Tayyip Erdogan telah memberi rangsangan besar kepada kerja-kerja bantuan kemanusiaan Yayasan Tzu Chi bagi pelarian Syria di Turki, hasil inisiatif tokoh korporat Malaysia, Tan Sri Vincent Tan pada pertemuan di pejabat presiden di sini, pada malam Sabtu.
Vincent, yang mengetuai lawatan tiga hari sukarelawan Tzu Chi dari Malaysia untuk mengagihkan bantuan kepada pelarian di sini, tidak mengharapkan misi yang lebih berjaya, melainkan pertemuannya dengan Erdogan.
Semalam, pengasas Berjaya Group itu juga bertemu dengan Menteri Luar Turki Mevlut, Cavusoglu.
Vincent juga mempunyai satu lagi alasan untuk merasa amat gembira apabila bertemu dengan media Malaysia yang membuat liputan misi itu selepas perbincangan selama 45 minit dengan Erdogan.
Pertemuannya dengan presiden itu berakhir sebaik perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di antara kelab Cardiff City yang dimilikinya dengan Leicester memasuki minit terakhirnya.
“Apabila saya keluar dari bilik, perlawanan itu yang disiarkan di televisyen pada minit ke-89 dengan skor 0-0 dan kemudian Cardiff menjaringkan gol dalam masa kecederaan untuk memenangi perlawanan!”, kata Vincent dalam nada yang amat teruja.
Melihat kepada pengasas Top Glove Corporation, Tan Sri Lim Wee Chai yang turut menghadiri pertemuan itu, Tan berkata: “Malah Tan Sri Lim yang tidak pernah menonton perlawanan bola sepak sebelum ini pun mengatakan ia gol yang cantik dan kami memeluk satu sama lain”.
Bola sepak juga menjadi perkara yang dibincangkan semasa pertemuan Erdogan dengan Vincent apabila Presiden itu yang merupakan bekas pemain bola sepak, mencadangkan kepada Vincent supaya turut memiliki kelab bola sepak Turki.
Ditanya apa reaksinya terhadap perkara itu, Vincent berkata: “Insya-Allah”.
Beliau menghadiahkan Erdogan jersi Cardiff City yang mempunyai nama Presiden dan nombor 1 padanya. – Bernama











