JOHOR BAHRU 30 Dis. – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi isyarat yang cukup jelas bahawa Bersatu merupakan wadah baharu bagi perjuangan agenda bumiputera tanpa mengabaikan hak kaum lain di negara ini.

Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Osman Sapian yang juga Menteri Besar berkata, parti itu adalah ‘rumah’ baharu untuk Melayu dan bumiputera mendapatkan perlindungan dan pembelaan apatah lagi mereka masih ketinggalan.
“Kita sedar akan kedudukan kaum Melayu yang masih ketinggalan terutamanya dalam bidang ekonomi. Justeru kita di Johor akan memberi penekanan yang lebih terhadap kesaksamaan hasil dan bukan lagi kesamaan peluang.
“Menyedari perkara tersebut, kerajaan negeri Pakatan Harapan yang diterajui Bersatu akan mewujudkan Majlis Ekonomi Negeri Johor. Ini bagi memastikan kesaksamaan hasil itu dinikmati rakyat Johor dan dalam masa yang sama menjamin pembangunan ekonomi negeri untuk bergerak lebih pesat dan lestari,” katanya dalam satu kenyataan di sini tengah malam tadi.
Beliau berkata, apa yang berlaku terhadap kepimpinan kerajaan terdahulu sehingga ditumbangkan rakyat menjadi pengajaran dan peringatan untuk Bersatu melakukan dengan lebih baik dan benar-benar membela nasib Melayu dan bukannya sekadar bermain berpolitik. – UTUSAN ONLINE










