PRESIDEN – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengakui pasukan The Red Warriors (TRW) semakin terdesak untuk mencari dana sekurang-kurangnya RM3 juta lagi untuk bersaing secara kompetitif pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Katanya, dana menerusi geran agihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebanyak RM1 juta tidak mencukupi buat pasukan Kelantan bersaing pada Liga Premier yang akan membuka tirai sebulan lagi.
“Kami amat mengalu-alukan mana-mana syarikat untuk tampil menaja skuad Kelantan kerana pihak pengurusan memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta lagi untuk mentadbir pasukan dengan baik musim depan.
“Kami meletakkan sasaran buat pasukan untuk mendapat tempat dua teratas Liga Premier 2019 sekali gus dapat kenaikan ke Liga Super musim 2020.
“Geran RM1 juta yang kami dapat daripada MFL serta penaja sedia ada masih belum cukup untuk kami bersaing dengan kompetitif memandangkan pasukan lain sudah membuat persiapan cukup rapi,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur semalam.
Pada masa sama, ahli perniagaan tersebut turut mengesahkan sedang menilai beberapa calon jurulatih tempatan untuk membimbing pasukan Kelantan sebelum tirai Liga Premier dibuka secara rasmi 1 Februari depan.
“Kami sedang berusaha untuk mencari jurulatih tempatan yang berpotensi untuk mengemudi pasukan Kelantan bagi saingan musim depan.
“Pasukan kini fokus dengan persiapan pramusim dan kami meletakkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya di tangan pengarah teknikal, Jorg Peter Steinebrunner dan penolong jurulatih, Kamarudin Muhammad sehingga pengganti Yusri Che Lah ditemui,” katanya.
Kelantan dijadualkan memulakan saingan pramusim pertama dengan menentang Terengganu FC 1 (TFC I) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 5 Januari depan.










