ISTANBUL 29 Dis. – Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun bertemu dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk berbincang mengenai kebajikan pelarian Syria di Turki, di sini hari ini.
Menerusi pertemuan selama sejam itu, Erdogan memberitahu Vincent Tan bahawa pihaknya bersedia untuk membantu pelarian Syria di negara tersebut termasuk membantu daripada segi pendidikan di Sekolah Antarabangsa El Menahil, di sini.
“Dalam perbincangan itu, Erdogan bersetuju untuk memberikan sebidang tanah kepada Yayasan Tzu Chi bagi tujuan membina sekolah baru untuk pelarian Syria dan menambah kuota pendidikan Advance CE untuk mereka.
“Setakat ini, kuota yang diberikan hanya terhad kepada 351 pelajar di Sekolah Antarabangsa El Menahil, di sini dan jumlah tersebut akan ditingkatkan kepada 3,000 pelajar selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan tersebut, di sini hari ini.
Turut hadir bertemu dengan Erdogan ialah Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai dan wakil Yayasan Tzu Chi di Turki, Faisal Hu.
Vincent Tan yang juga ahli Yayasan Tzu Chi adalah antara yayasan menyumbang kepada bantuan pendidikan pelarian Syria di Turki menerusi Sekolah Antarabangsa El Menahil, di sini. – UTUSAN ONLINE









