KUALA LUMPUR – Penantian netizen untuk mengetahui balasan kepada surat terbuka yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akhirnya menjadi kenyataan semalam.
Menerusi satu status dalam laman sosial Twitter milik bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah (gambar kecil) menyifatkan surat terbuka yang disampaikan oleh Mujahid sebagai kurang sesuai dan bersifat merendahkan diri.

Menurut beliau, walaupun isi kandungan surat terbuka tersebut berniat baik, namun cara ia disampaikan dilihat sebagai kurang sesuai.
“Saya sebenarnya sudah memaklumkan kepada Datuk (Mujahid) berhubung surat terbuka itu yang dilihat kurang sesuai dan merendahkan diri. Lebih baik kami memberi tumpuan kepada isu yang sebenar,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mujahid yang memberitahu maklum balas surat daripada Nurul Izzah adalah rahsia dan perkara tersebut tidak akan dimaklumkan.
Pada Selasa lalu, Mujahid menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah menerusi catatan laman sosial Facebook susulan keputusan Ahli Parlimen itu meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Bagaimanapun, kandungan surat tersebut yang menggunakan bahasa Melayu klasik seperti penggunaan gantinama adinda dan kekanda tular di laman media sosial dan mendapat pelbagai reaksi.
Rata-rata netizen turut mempersendakan isi kandungan surat itu yang dianggap terlalu romantis dan kurang sesuai ditulis terutamanya sebagai surat terbuka kepada seorang pemimpin rakyat.










