GEORGE TOWN – Bukan bersifat romantis sebaliknya untuk memartabatkan sastera Melayu.
Itu penjelasan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa (gambar kecil) di sebalik pelbagai sindiran yang diterimanya susulan penggunaan istilah kekanda dan adinda dalam surat terbuka yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pada 25 Disember lalu.
Mujahid berkata, beliau sebagai seorang yang cintakan kesusasteraan Melayu tidak melihat isu penggunaan istilah kekanda dan adinda itu sebagai sesuatu yang pelik sebaliknya ia menunjukkan keindahan bahasa Melayu klasik itu sendiri.
“Jadi isu ini menunjukkan masyarakat kita masih rendah dia punya nilai sastera. Mereka suka benda tanpa disedari merendahkan martabat sastera itu sendiri termasuklah istilah kekanda dan adinda itu, bukankah indah bunyinya.
“Orang kita ni gambaran dia asyik nak gambar benda lain, asyik di dalam alam romantis, sedangkan ia bukan soal romantis. Ia soal bahasa indah yang dipakai antara orang yang lebih senior kepada orang yang lebih junior,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Rahmah di Surau Hospital Pulau Pinang di sini semalam.
Menerusi status yang dimuat naik dalam Facebook miliknya bertajuk Warkah dari Cordoba untuk Nurul Izzah, Mujahid menggunakan gelaran kekanda untuk merujuk kepada dirinya dan adinda untuk merujuk kepada Nurul Izzah.
Surat yang dikatakan ditulis ketika beliau dalam perjalanan dari bandar bersejarah Cordoba ke ibu kota Sepanyol, Madrid itu adalah sebagai respon kepada peletakan jawatan Nurul Izzah daripada Parti Keadilan Rakyat dan kerajaan.
Bagaimanapun, penggunaan istilah kekanda dan adinda dalam surat terbuka itu telah menarik perhatian netizen sehingga ia menjadi tular.
Setakat pukul 6 petang semalam, Warkah dari Cordoba untuk Nurul Izzah telah dikongsi lebih 8,800 pengguna Facebook selain mengumpul sebanyak 15,000 komen.
“Saya bukan kenali Nurul Izzah satu hari. Kita bersama atas satu pentas walaupun dia junior banyak dari saya tapi saya menyaksikan pendakian dan sehingga beliau digelar puteri reformasi. Sudah tentulah bagi saya keputusan untuk beliau menarik diri adalah satu kejutan, bukan pada saya sahaja lebih pada orang yang mengamati perjuangan ini sejak dari hujung 1990-an lagi. Saya berada bersama dalam gelombang itu.
“Jadi, atas itulah maka saya menitipkan pena dengan ilham dari Cordova dalam perjalanan tiga jam dan pemandangan yang indah sebagai seorang yang penuh nilai sasteranya. Bukan sekali saya menulis bersifat sastera ini maka itulah yang melahirkan warkah dari Cordova itu. Tapi orang dok sibuk kanda dan adinda, walhal surat itu punyalah panjang. Mereka tak tengok isi (kandungan surat itu),” katanya.
Ditanya sama ada Nurul Izzah sudah membalas surat terbuka itu, katanya perkara itu adalah rahsia dan beliau tidak akan memaklumkan mengenai perkara itu. – Bernama











