SUNGAI PETANI – Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan tikaman pada badan dan leher di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang dekat sini semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai A. Muniandy, 41, dijumpai orang awam dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk pemandu kenderaan MPV jenis Nissan Grand Livina yang diletakkan berhampiran tapak pasar malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan tentang penemuan mayat itu kira-kira pukul 4.15 pagi.
“Hasil siasatan mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada badan dan leher mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian itu.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Difahamkan, mangsa telah berkahwin dan mempunyai lima orang anak serta baru sahaja pulang daripada bekerja di Singapura sejak tiga hari lalu.










