Jual ayam goreng 10 sen seketul - Utusan Malaysia

Jual ayam goreng 10 sen seketul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU – Sebanyak 40 ketul ayam goreng yang dijual pada harga 10 sen seketul habis dalam tempoh kira-kira dua minit di sebuah kedai makan di Jalan Pondok Upeh di sini semalam.

Situasi sama turut berlaku pada hari-hari lain termasuklah 40 ekor ikan cencaru yang dijual pada harga sama di kedai makan Baen Cafe The Power of Sedekah tersebut minggu lalu.

Pemilik kedai, Ibrahim Abdul Rahim, 36, berkata, idea mele­takkan tanda harga itu timbul selepas dia memasang niat untuk bersedekah kepada para pe­langgan, namun terhad seketul bagi setiap orang.

“Hari ini (semalam) ayam goreng dijual pada harga 10 sen tetapi hanya 40 ketul dan jualan promosi itu bermula pada pukul 12 tengah hari.

“Saya terpanggil untuk membuat jualan se­perti ini selepas melihat orang ramai terbeban dengan harga makanan di sam­ping berniat mahu bersedekah,” katanya yang berniaga sejak 10 tahun lalu.

Selain menu itu, dia turut memberi secara percuma sebarang jenis minuman bergula tanpa susu seperti teh, anggur dan sirap serta nasi tanpa lauk seperti nasi tomato dan beriani.

Ibrahim berkata, berniaga sambil bersedekah itu dilaksa­nakan sejak empat tahun lalu.

“Kalau ikutkan, jual dengan cara begini modal pun susah nak dapat, namun saya yakin konsep sedekah ini mengundang rezeki dan saya bersyukur kerana pe­langgan sentiasa memberikan sokongan,” katanya.

Tambah Ibrahim, jualan pada harga 10 sen untuk menu terpilih itu akan diteruskan pada masa akan datang.

“Minggu depan mungkin saya akan jual kari kepala ikan pula dengan harga 10 sen pula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×