JOHOR BAHRU 29 Dis. – UMNO negeri menyifatkan tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyampaikan surat terbuka kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai tidak memahami Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, ini kerana peranan dan tanggungjawab institusi diraja Johor itu sudah jelas dinyatakan.

Menurut beliau, malahan rakyat negeri ini secara umumnya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan peranan institusi berkenaan dalam hal-hal berkaitan pentadbiran negeri.
“Rakyat negeri ini tidak ada masalah dengan pembabitan Sultan mahupun Tunku Mahkota Johor dalam pentadbiran negeri, cara hidup mahupun suasana kemasyarakatan.
“Jadi jelas tindakan itu menunjukkan mereka (PH) tidak faham peranan serta tanggungjawab Sultan dan Tunku Mahkota Johor, kita di Johor tidak pernah

mempersoalkan peranan dan kehadiran institusi diraja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Larian Tok Uban 2018 di Taman Suria di sini hari ini.
Baru-baru ini, Khairuddin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti PH mencadangkan agar Tunku Ismail turun daripada singgahsana dan menyertai politik sepenuh masa.
Beliau berkata, Tunku Ismail juga tidak sepatutnya berselindung di belakang Perlembagaan apabila rakyat boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya menjawab tohmahannya secara kritis.










