Kementerian Pertahanan nafi serap 75 pelatih India - Utusan Malaysia

Kementerian Pertahanan nafi serap 75 pelatih India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan bahawa pihaknya menyerap sejumlah 75 belia berketurunan India ke dalam Rejimen Askar Wataniah walaupun 60 daripadanya tidak mempunyai kelayakan yang mencukupi.

Menurut Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong, pihaknya hanya bersetuju mengkaji semula permohonan yang memenuhi syarat kelayakan namun tercicir sebelum ini.

“Fakta tersebut tidak benar. Kementerian Pertahanan tidak pernah memberi jaminan untuk mengambil kesemua pemohon tersebut ke dalam Wataniah.

“Pihak Kementerian bersetuju untuk mengkaji semula permohonan-permohonan tersebut supaya mereka yang memenuhi syarat kemasukan tetapi tercicir sebelum ini boleh dipertimbangkan semula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dakwaan penyerapan pelatih tersebut disiarkan di laman Facebook milik Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran hari ini yang antara lain mendakwa keputusan tersebut diambil setelah pihaknya mengadakan beberapa pertemuan dengan pegawai Chin Tong.

Kata kenyataan itu lagi, 75 belia India itu dilatih oleh Askar Wataniah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan dijanjikan tempat dalam ‘pasukan tentera’ namun janji itu diabaikan.

Kenyataan itu walau bagaimanapun telah dipadam selepas lebih 15 jam disiarkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×