Peka dakwa terdapat agensi 'untung besar' tipu pekerja asing - Utusan Malaysia

Peka dakwa terdapat agensi ‘untung besar’ tipu pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 20 Dis. – Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) mendakwa ramai pekerja asing di negara ini menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) disebabkan ditipu oleh sesetengah agensi yang dilantik kononnya mahu mendapatkan permit kerja.

Presidennya, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir berkata, selepas ‘termakan janji’ dan membuat bayaran, agensi terbabit melarikan diri dan meninggalkan pekerja asing begitu sahaja.

“Selain duit, pasport mereka (pekerja asing) turut lesap, yang ‘untung besar’ adalah agensi. Tindakan ini betul-betul menganiaya.

“Ini yang menyebabkan mereka yang asalnya masuk secara sah boleh menjadi PATI kerana ditipu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, isu tiada permit kerja adalah serius kerana melibatkan undang-undang negara dan kebajikan pekerja asing.

“Mereka ini sanggup bayar mahal kerana diberikan janji urusan akan diselesaikan dengan cepat ‘dari A hingga Z’ tanpa perlu mereka ‘turun naik’ pejabat kerajaan.

“Banyak aduan diterima melalui peserta Program Kebajikan dan Khidmat Imigran (PKKI) Peka. Mereka turut sertakan bukti slip dan resit bayaran yang dikeluarkan oleh agensi terbabit untuk urusan permit kerja tapi hingga kini senyap saja,” katanya.

Dakwanya, perbuatan menipu urusan dokumen jelas melanggar undang-undang sekali gus boleh memburukkan imej Malaysia.

“Ingin saya tegaskan, agensi yang didapati melakukan penipuan bakal berdepan dengan tindakan kerana Peka telah berbincang dengan peguam untuk mula menghantar notis tuntutan semula wang yang telah dibayar untuk dikembalikan kepada warga asing terlibat.

“Sekiranya enggan bekerjasama, Peka akan melaporkan kepada pihak berkuasa sebelum diseret ke muka pengadilan,” katanya.

Jelasnya, Peka serius menangani isu berkenaan selaras dengan fungsi program kebajikan dan atas dasar kemanusiaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×