PORT DICKSON 20 Dis. – Tuah memihak kepada seorang guru apabila membawa pulang wang tunai RM20,000 selepas muncul juara pertandingan memancing Port Dickson Surfcasting Challenge 2018 di Pantai Bagan Pinang, di sini baru-baru ini.
Abdul Rahman Yahya, 42, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau menewaskan 1,057 peserta lain apabila berjaya menaikkan seekor ikan gerung belang seberat 3.540 kilogram (kg).
“Kemenangan ini amat bermakna kerana menebus kembali kekalahan tujuh tahun lalu dalam satu pertandingan di tempat yang sama. Ketika itu saya hampir berjaya memenangi RM40,000 tetapi bukan rezeki saya ketika itu untuk bergelar juara.
“Kali ini saya bersyukur kerana rezeki berpihak kepada saya. Ini kali kedua saya menang pertandingan memancing selepas satu pertandingan di Melaka pada Mei lalu. Ketika itu saya juga meraih RM20,000,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, tempat kedua disandang oleh pemancing dari Kuala Sungai Baru, Melaka, Ismadi Dolit, 25, apabila menewaskan ikan todak seberat 1.815 kg sekali gus memperoleh wang tunai RM6,000.
Tempat ketika dimenangi Badeli Shah Ngadimin, 32, dari Muar, Johor yang membawa pulang RM3,000 selepas menaikkan seekor ikan daun baru seberat 1.025 kg.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pertandingan itu dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke Port Dickson sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk tempatan dan sektor perhotelan.
“Program seperti ini amat dialu-alukan dan boleh di jadikan acara tahunan kerana kita ingin menarik pelancong luar terutama dari negara-negara seperti Singapura dan China.
“Dalam masa yang sama kita giat membuat perancangan untuk menjadikan Port Dickson sebagai ikon memancing yang berbeza berbanding dengan tempat-tempat memancing di negeri lain,” katanya.
Beliau berkata, selain menyertai aktiviti memancing, pelancong juga berpeluang melawat beberapa tempat menarik antaranya Muzium Tentera Darat, Ostrich Farm, Tanjung Tuan dan lain-lain lagi.
Yang turut hadir Pengarah Kanan (Domestik dan Acara) Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Mohd. Zamri Mohd. Esa. – UTUSAN ONLINE










