PKPB gesa kerajaan sediakan insentif bantu NEET - Utusan Malaysia

PKPB gesa kerajaan sediakan insentif bantu NEET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menggesa kerajaan menyediakan insentif berbentuk geran atau latihan kemahiran tidak formal kepada belia yang tercicir daripada pekerjaan, pendidikan dan latihan formal (NEET).

Setiausaha Agung PKPB, Mohammad Rizan Hassan berkata, NEET adalah golongan belia yang perlu dibantu dan dibimbing sama ada sebelum atau selepas berada di alam pekerjaan bagi tempoh masa tertentu.

“NEET adalah kelompok belia yang tercicir dari arus pembangunan iaitu mereka yang tidak tergolong dalam guna tenaga, tidak terlibat dengan sebarang program pendidikan dan tidak mengikuti sebarang program latihan kemahiran.

“Industri boleh bekerjasama dengan penyelia latihan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu golongan ini agar dapat bangkit dari masa lalu dan membina kerjaya yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, faktor sosioekonomi dan latar belakang keluarga yang tidak mempunyai pengalaman dalam pengajian peringkat menengah atau kolej membuatkan golongan belia cenderung menjadi NEET.

“Bahkan faktor kurang pengalaman, kemahiran dan kebolehan komunikasi turut menjadi salah satu punca belia dipinggirkan daripada mendapat pekerjaan.

“Manakala ramai belia di Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman tidak berminat kerana tempat latihan terletak jauh di Semenanjung Malaysia selain memakan belanja yang besar sedangkan sijil itu belum pasti memenuhi keperluan industri,” ujarnya.

Mohammad Rizan memberitahu, terdapat golongan belia yang mempunyai masalah kesihatan sehingga membataskan pergerakan mereka untuk mendapatkan pekerjaan dan menyambung pelajaran serta mendapatkan pendidikan yang sepatutnya.

Sementara itu, Mohammad Rizan mencadangkan pihak majikan meletakkan syarat kelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk diambil bekerja untuk memberi peluang kepada mereka membina kemahiran dan pengalaman di tempat kerja. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×