ALOR SETAR 20 Dis. – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid mengumumkan keluar UMNO, namun tidak menyertai mana-mana parti lain buat masa ini.
Turut bersama-sama mengikuti langkah bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya negeri itu ialah 30 pemimpin dan ahli dari lapan cawangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Mohd. Rawi berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beliau berfikir panjang sejak berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan pemilihan parti yang turut menyaksikan beliau tewas perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.
“Dengan berat hati saya mengumumkan terpaksa keluar UMNO yang mula saya sertai sejak 1990, namun keputusan itu demi perjuangan kepada bangsa dan agama.
“Rata-rata ahli (UMNO) masih terkapai-kapai menunggu hala tuju UMNO dan ramai yang kurang yakin UMNO mampu bangkit semula apabila melihat kepada senario politik ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Selain Mohd. Rawi, Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Langkawi, Nur Aini Ahmad Ridzuan dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Mansor Bahari turut berbuat demikian.
Sementara itu, beberapa ketua cawangan termasuk dari Kampung Teluk, Kampung Huma dan Kampung Pasir Hitam serta ahli akar umbi di Kampung Padang Lalang, Ewa, Bukit Puteri, Kilim dan Kampung Kubang Badak turut membuat keputusan meninggalkan UMNO
Tambah Mohd. Rawi, beliau dan beberapa yang membuat keputusan berkenaan sudah mempunyai ‘destinasi’ baharu namun enggan mendedahkan parti komponen mana dalam Pakatan Harapan yang akan disertai mereka. -UTUSAN ONLINE










