BATU GAJAH – Tiga pelajar lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya dua minggu lalu
Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh yang masing-masing berusia 15 dan 16 tahun itu dibacakan secara tertutup di hadapan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin.
Mengikut pertuduhan, dua tertuduh berusia 15 dan 16 tahun didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Jalan Bemban di sini antara pukul 9.40 hingga 9.42 malam 5 Disember lalu.
Seorang lagi tertuduh berusia 15 tahun pula didakwa atas pertuduhan sama di lokasi sama pada pukul 2.06 pagi 6 Disember lalu.
Semua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh siasatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhana Hashim manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mohd. Fitri membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Dua tertuduh membayar wang jaminan tersebut manakala seorang lagi yang gagal dibawa ke Pusat Pemulihan Akhlak Pokok Sena, Kedah.
Mahkamah menetapkan 28 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE










