Myanmar lakukan genosid - Senator Amerika - Utusan Malaysia

Myanmar lakukan genosid – Senator Amerika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 20 Dis. – Sekumpulan Senator Amerika Syarikat (AS) menggesa Setiausaha Negara, Mike Pompeo ‘menegaskan’ bahawa kempen ketenteraan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya di negeri Rakhine sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.

Lebih 700,000 penduduk Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos tahun lalu sejak tercetusnya keganasan tentera di negeri tersebut dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), AS, Britain dan beberapa negara lain menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pembersihan etnik’.

Myanmar menafikan tuduhan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami amat bimbang, walaupun terdapat bukti kukuh mengenai genosid (pembunuhan beramai-ramai) yang dikumpulkan oleh laporan jabatan sendiri (Jabatan Negara AS), pihak itu tidak membuat penentuan rasmi bahawa jenayah genosid telah dilakukan,” jelas salinan surat kepada Pompeo oleh kumpulan Senator terbabit yang diperoleh Reuters.

Pada September lalu, pemimpin Jawatankuasa Hal Ehwal Luar di Dewan Perwakilan AS menggesa pentadbiran Donald Trump mengisytiharkan kempen tentera di Myanmar sebagai genosid, selepas laporan dikeluarkan oleh Jabatan Negara.

Kajian Jabatan Negara berdasarkan temu bual yang diadakan pada April lepas melibatkan 1,024 responden dewasa yang berlindung di Bangladesh dan keterangan yang diperoleh itu konsisten dengan laporan daripada kumpulan hak asasi manusia.

Laporan Biro Risikan dan Penyelidikan Jabatan Negara dilihat mengelak daripada menggunakan terma pembunuhan beramai-ramai atau penghapusan etnik bagi menggambarkan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

Tinjauan itu mendedahkan bahawa keganasan terbaharu di utara Rakhine adalah melampau, pada skala besar, meluas dan seolah-olah dilakukan bagi mencetuskan ketakutan kepada penduduk dan mengusir etnik Rohingya.

Oleh yang demikian, satu pengisytiharan genosid oleh kerajaan AS mampu mempunyai implikasi undang-undang membolehkan Washington bertindak tegas terhadap kerajaan Myanmar yang dipimpin pemenang Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyo.

“Tiada persoalan bahawa keganasan di Rakhine bertujuan untuk mengganas, mengusir dan ‘melenyapkan’ penduduk Rohingya, memenuhi definisi genosid,” tambah apa yang ditulis oleh Senator berkenaan dalam surat tersebut.

Diketuai oleh Senator Bon Menendez, surat itu ditandatangani oleh Senator dari Republikan iaitu Marco Rubio dan Susan Collins serta Senator Demokrat, Ed Markey, Tim Kaine, Ben Cardin dan Jeff Merkley. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×