PUTRAJAYA 19 Dis.- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Januari depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi P.078 Parlimen Cameron Highlands.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, Mesyuarat Khas yang diadakan oleh SPR hari ini juga telah menetapkan 12 Januari depan ini sebagai hari penamaan calon.
Beliau berkata, sebanyak 32,009 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang telah dikemaskini pada November lalu.
“Hari mengundi awal pula ditetapkan pada 22 Januari dengan tempoh berkempen selama 14 hari” katanya dalam sidang akhbar PRK P.078 Parlimen Cameron Highlands di sini hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof pada Isnin lalu mengesahkan kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah kosong dan PRK bagi kawasan itu akan diadakan dalam masa terdekat.
Pengesahan itu dibuat selepas Mohamad Ariff menerima menerima makluman daripada SPR bahawa penyandangnya sebelum ini, Datuk C. Sivarraajh gagal mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.
Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga merupakan Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.
Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).-UTUSAN ONLINE










