KUALA TERENGGANU 19 Dis. – Kerajaan negeri mengesahkan anak syarikat miliknya, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) kini berdepan dengan siasatan dalaman berikutan terdapat aduan dibuat terhadapnya.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu diputuskan oleh ahli lembaga pengarah syarikat bagi membolehkan proses siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil, cermat dan teliti tanpa tergesa-gesa dalam tindakan.
Katanya, siasatan yang bermula sejak dua hari lalu oleh jawatankuasa dalaman EPIC merupakan proses biasa bagi mana-mana organisasi dan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Oleh kerana ia melibatkan siasatan yang sedang berjalan dalam beberapa perkara, saya tidak akan mengulas terperinci tentang apa, siapa, bila, bagaimana atau kenapa disiasat kerana itu adalah persoalan yang masih terlalu awal pada tahap ini.
“Saya tidak pasti mengenai gambar tular pejabat dikunci, saya tidak tengok secara fizikal tetapi ia adalah proses biasa untuk menghalang indvidu tertentu supaya tidak berada di premis berkenaan sewaktu siasatan dijalankan.
“Soal kunci bangunan itu hanyalah satu kaedah sahaja kerana apa yang penting proses itu perlu dijalankan dan salah satunya adalah dengan tidak membenarkan mereka berkenaan berada di premis,” katanya.
Beliau mengulas persoalan yang tular di media sosial sejak kelmarin berhubung gambar pejabat seorang pegawai kanan EPIC yang dikunci, pada Majlis Makan Malam Repsol Oil & Gas Malaysia Limited (Repsol) di salah sebuah hotel di sini malam tadi. – UTUSAN ONLINE










