Tindakan tegas terhadap Ganabatirau, 4 menteri - Utusan Malaysia

Tindakan tegas terhadap Ganabatirau, 4 menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak tindakan tegas terhadap empat menteri termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy serta Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau kerana bertanggungjawab membangkitkan kemarahan ramai berhubung rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 26 November lalu.

Tiga lagi menteri ialah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Go­bind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.

ASYRAF WAJDI DUSUKI
ASYRAF WAJDI DUSUKI 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, status Facebook yang dimuat naik pada 27 November lalu oleh Ganabatirau dengan mendakwa serangan terhadap kuil itu dilakukan oleh orang Islam serta kenyataan bertulis empat menteri berkenaan yang menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membangkitkan kemarahan kaum India.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, provokasi itu membangkitkan kemarahan kira-kira 10,000 kaum India untuk keluar beramai-ramai pada malam kedua sehingga menyebabkan rusuhan sehingga mengakibatkan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim tercedera yang menghembuskan nafas terakhirnya semalam.

“Pemuda UMNO mendesak Peguam Negara segera mengambil tindakan tegas terhadap Ganabatirau dan empat orang menteri lain termasuk Waytha Moorthy dengan mendakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengeluarkan kenyataan dengan niat mengaibkan dan membangkitkan pecah keamanan.

“Kami mahu siasatan dan pendakwaan dilakukan secara telus, adil dan tidak pilih kasih. Keadilan mesti dilihat ditegakkan lantaran melibatkan nyawa seorang penjawat awam yang tidak berdosa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO sekali lagi mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan selaku Menteri Perpaduan kerana bukan sahaja gagal menjernihkan ketegangan kaum, tetapi turut menyalakan api kemarahan kaum India dengan menyalahkan PDRM sehingga tercetusnya rusuhan lebih dahsyat pada malam kedua.

AMINUDDIN YAHAYA
AMINUDDIN YAHAYA 

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan perlu bertindak adil dalam kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang me­ninggal dunia semalam.

Beliau berkata, hukuman setimpal mesti dijatuhkan kepada mereka yang melakukan jenayah kejam tersebut.

“Lebih-lebih lagi melibatkan seorang ahli pasukan penyelamat. Marilah kita mengenang pengorbanannya dengan mencari keadilan untuknya,” kata­nya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya pada masa sama turut menggesa kerajaan bersikap tegas dengan membawa pelaku yang mence­derakan Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim sehingga menyebabkan anggota bomba itu meninggal dunia semalam dibawa ke muka pengadilan.

“Tindakan menuduh polis punca berlaku rusuhan sebelum melakukan siasatan merupakan tindakan tidak profesional dan boleh mencetuskan kemarahan orang ramai. Justeru, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengutamakan rakyat, kami menuntut Waytha Moorthy dan Ganabatirau dilucutkan jawatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

ZAMBRI MOHD. ISA
ZAMBRI MOHD. ISA 

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berharap kerajaan dapat me­ngambil tindakan berani seperti mana kemahuan rakyat demi memberi keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lagi boleh berdiam diri, beliau perlu memecat Waytha Moorthy kerana gagal menyatupadukan rak­yat malah bertindak sebaliknya.

“Kami mahu perbicaraan kes ini dilakukan secepat mungkin tanpa wujud sebarang situasi berat sebelah. Kami tagih ke­tegasan daripada Peguam Negara, Tommy Thomas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×