KUALA LUMPUR 18 Dis. – Pemergian Muhammad Adib Mohd. Kassim meruntun jiwa pelbagai pihak dan mencatat sebuah lagi episod duka buat seluruh rakyat Malaysia.
Ini termasuk Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Azmi Hamid yang mendedikasikan sebuah puisi kepada Allahyarham Muhammad Adib yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.41 malam semalam.
Berikut ialah puisi tersebut:
Maafkan kami, Adib
Adib,
Namamu tak pernah disebut-sebut,
Hanya ayah, ibu, saudara dan tunangmu yang menyambut,
Tiap kali engkau pulang setelah bertugas,
tunangmu mungkin terasa ingin mengikut,
Berjanji satu hari nanti kamu bersamanya akan hidup
sehingga tibanya maut.
Adib,
Kamu tidak sesekali menyangka,
Terperangkap dalam sengketa,
Yang kamu tahu hanya menyahut panggilan
untuk bertugas tanpa bertanya,
Apakah tugas biasa ataukah merbahaya.
Adib,
Seluruh negara tiba-tiba tersentak mendengar berita,
Engkau bergelut untuk menyelamatkan nyawa,
Rupanya bila manusia hilang timbang rasa,
Engkau pula yang menjadi mangsa.
Adib,
Negara ini telah ditatang untuk anak muda seperti kamu,
Agar diwarisi sehingga ke anak cucu,
Yang berlain kaum, agama dan hidup berukun damai, itulah pesan ibu,
Jangan sekali-kali engkau sia-siakan tanah air ini milik bangsamu.
Adib,
Air mata kami mengalir mengenangkan derita yang kamu lalui,
Kenapa nyawamu tidak dihargai,
Bukankah kita berjanji hidup bersama di tanah pertiwi ini,
Bumi bertuah tempat lahirmu menjadi saksi.
Adib,
Kamu hanyalah seorang warga yang mahu hidup biasa,
Negara yang makmur ingin dinikmati bersama,
Tidak ada yang harus berprasangka dan mencuriga,
Si Mamat, si Ah Chong, si Ramasami, bukankah rakan kita belaka.
Adib,
Engkau dipaksa membayar harga dari sebuah pertelingkahan,
Mereka tidak kisah untuk apa harus berbunuhan,
Peduli apa kepada negara dan warga yang akan berberontakan,
Asal puas mendapat upah yang hanya seratus dua yang memalukan.
Adib,
Kami semua bersalah dari sebuah kealpaan,
Saling mencuriga dan tidak mahu bermaafan,
Lalu engkau berada di tengah-tengah persengketaan,
Inilah natijah dari keegoaan yang tidak kenal sempadan.
Adib,
Aku terkelu dan sukar mencari kata-kata,
Berita pemergianmu, tidak disangka,
Aku masih mengharap, engkau boleh berbicara,
Mengkisahkan pesan kepada anak cucu kita,
Jangan berulang lagi babak yang meluka,
Negara ini bakal kita wariskan kepada seluruh anak bangsa.
Adib,
Damailah kamu di pusara, yang akan tercatat dalam sejarah,
Aku mengharap seluruh warga turut mengambil ibrah,
Bahawa Tuhan berpesan, hiduplah dengan pasrah,
Dalam rasa keinsanan dibina ukhwah,
Kami berazam tidak akan mengulangi permusuhan yang membawa belah. – UTUSAN ONLINE










