103 atlet cemerlang Kelantan dirai, terima insentif - Utusan Malaysia

103 atlet cemerlang Kelantan dirai, terima insentif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 18 Dis. – Seramai 103 atlet negeri ini yang meraih pingat dalam pelbagai temasya sukan tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu serta tahun ini menerima insentif daripada kerajaan Pas Kelantan, hari ini.

Mereka merupakan atlet yang cemerlang dalam Sukan Asia Jakarta 2018, Sukan Para Asia Jakarta 2018, Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, Sukma Perak 2018, Sukma Para Perak 2018 dan Sukan Orang Pekak Malaysia 2018.

Majlis penyampaian insentif tersebut berlangsung di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini dan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berkata, pemberian insentif tersebut merupakan tanda pengiktirafan dan penghargaan kerajaan negeri walaupun setiap atlet cemerlang yang mewakili negara telah pun menerima insentif masing-masing daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Kata beliau, ganjaran dan sumbangan dalam bentuk kewangan atau pemberian latihan pada hakikatnya berupaya menyuntik semangat baru kepada ahli sukan untuk berusaha mencapai kejayaan yang lebih baik lagi.

“Pemberian insentif ini juga memberi satu harapan kepada golongan muda terutama kanak-kanak dan remaja untuk mempunyai impian menjadi ahli sukan yang berjaya.

103 atlet cemerlang Kelantan dirai, terima insentif
Datuk Ahmad Yakob (tengah) bersama 103 atlet yang diraikan dalam Majlis Penyampaian Insentif Sukan Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini. – UTUSAN ONLINE/GHAZALI BASRI

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet yang telah berjaya membuktikan kehebatan dan kecemerlangan masing-masing,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan prasarana sukan di negeri ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

Antara penerima insentif tersebut ialah atlet para negara, Muhammad Afiq Afify Rizan yang memenangi pingat emas bagi acara lumba basikal trek lelaki Sukan Para Asia 2018 dan pingat emas acara Sukan Para ASEAN 2017. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×