SHAH ALAM 18 Dis. – Kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang menjadi mangsa keganasan perusuh Kuil Sri Maha Mariamman, bukan hanya ditangisi rakyat jelata, tetapi turut mengundang duka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda sehubungan itu berkenan mengutuskan surat ucapan takziah kepada bapa Allahyarham.
“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor berasa amat sedih dan dukacita apabila mendengar berita pulangnya ke rahmatuallah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib.
“Beta ingin menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada waris serta ahli keluarga dan berharap mereka redha serta tabah menerima ketentuan ini,” titah Sultan Selangor menerusi Facebook rasmi istana, Selangor Royal Office di sini hari ini.
Muhammad Adib parah dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu dan terpaksa mendapat rawatan rapi di Institut Jantung Negara (IJN) tetapi akhirnya meninggal dunia kira-kira 9.41 malam ini.
Kes tersebut sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan empat suspek telah dibebaskan dengan jaminan bon polis tetapi pihak keselamatan malam semalam mengumumkan kes itu kini disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-UTUSAN ONLINE










