BEKAS jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh menyelar tindakan sesetengah pihak yang berterusan mengkritik cara ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memimpin pasukan negara sepanjang kempen Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018.
Dollah yang juga jurulatih Pahang menegaskan, skuad kebangsaan akan buntu untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi meningkatkan prestasi jika berterusan dikritik setiap kali muka baharu dilantik memimpin pasukan negara.
“Apa lagi kumpulan pengkritik ini mahukan. Cheng Hoe sudah berikan yang terbaik buat skuad negara kali ini.
“Barcelona yang merupakan pasukan gergasi pun kalah, inikan pula Malaysia. Sudah mara ke pentas final pun sudah cukup bagus buat Cheng Hoe.
“Jika terus melayan golongan pengkritik ini, sampai bila akan habis atau tunggu prestasi skuad kebangsaan sama tahap dengan aksi pasukan Liga Perdana England, maka baru mereka senyap?
“Abaikan semuanya, kita sendiri dapat melihat Cheng Hoe berjaya melakukan perubahan besar dalam skuad negara dan corak permainan juga bertambah menarik untuk dilihat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sabtu lalu, skuad Harimau Malaya gagal melengkapkan kemenangan kedua Piala AFF Suzuki 2018 apabila tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi.
Dollah menegaskan, semua pengkritik perlu menerima hakikat dan menganggap kali ini bukan rezeki buat skuad negara menjulang Piala AFF Suzuki.
“Dalam bola sepak, kalau main bagus macam mana sekali pun, kalau tiada rezeki, apa pun kita tidak boleh cakap.
“Tapi kita kena ingat, mara ke pentas final pada kejohanan pertama di bawah bimbingan Cheng Hoe sudah cukup bagus buat Malaysia,” katanya.










