NYON, Switzerland 17 Dis. – Bayern Munich menjangkakan cabaran getir menanti untuk memburu tiket suku akhir Liga Juara-Juara selepas diundi menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dalam peringkat kalah mati hari ini.
Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic berkata, Reds kini berada pada prestasi terbaiknya kerana belum kalah dalam saingan domestik sedangkan pasukannya mengharungi musim tidak menentu.
“Mereka adalah pendahulu di England ketika ini. Liverpool memiliki corak permainan yang amat cantik, fizikal yang kuat, malah mampu mengancam kubu mana-mana pasukan.
“Kami bersedia dengan cabaran yang menanti. Ia getir, tetapi semua harus dipersiapkan untuk menentang mereka.
“(Jurgen) Klopp (pengurus Liverpool) pula adalah jurulatih yang bagus, seseorang yang disenangi oleh media dan pasukan lain,” kata Salihamidzic.
Sementara itu, musuh ketat Reds, Manchester United buat kali pertama akan menentang juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), pasukan yang melangkah ke peringkat kalah mati selaku juara C dengan dua mata mengatasi Liverpool.
Selain Liverpool, dua lagi kelab England iaitu juara Liga Perdana, Manchester City serta Tottenham bakal berdepan dua wakil Jerman – Schalke 04 dan Borussia Dortmund.
Juara bertahan, Real Madrid pula menjadi pilihan untuk memenangi pertemuan dengan juara empat kali, Ajax Amsterdam manakala gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona bertemu Lyon.
Turut menjadi tumpuan pertembungan juara Itali, Juventus dan Atletico Madrid, yang hanya pernah bertemu dua kali dalam sejarah Liga Juara-Juara.
“Kami memiliki pasukan yang sangat kuat kali ini, jadi kami turun dengan keyakinan tinggi,” kata Pengarah Juventus, Pavel Nedved.
Dalam Liga Europa, bekas juara, Chelsea akan berdepan Malmo di peringkat 32 terbaik manakala Arsenal diundi menentang BATE Borisov dari Belarus.
Juara lima kali, Sevilla, yang kini menghuni tangga kedua La Liga bakal berdepan cabaran Lazio. – AFP










