Indonesia mula proses hantar pulang nelayan - Utusan Malaysia

Indonesia mula proses hantar pulang nelayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN 17 Dis. – Indonesia telah memulakan proses menghantar pulang rakyatnya yang bekerja sebagai nelayan di negeri ini bagi mengelakkan mereka daripada terus menjadi mangsa penculikan, kata Konsul Jenderal di Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 30 nelayan mahu dihantar pulang ke tanah asal dan selebihnya dalam proses pengurusan data.

Krishna berkata sebanyak 15 kes penculikan serta enam percubaan culik oleh kumpulan bersenjata dari selatan Filipina membabitkan rakyat Indonesia berlaku di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) bagi tempoh tahun 2003 sehingga Dis tahun ini.

Mendedahkan perkara itu, beliau berkata daripada kes itu seramai 36 rakyat Indonesia diculik dan terdapat tiga cedera ditembak dalam percubaan menculik.


“Syukur sebahagian besar mangsa culik (warga Indonesia) dibebaskan tetapi ada tiga lagi mangsa iaitu bagi kes culik di Pulau Bodgaya, Semporna (seorang) dan Pegasus Reef, Kinabatangan (dua mangsa) masih menjadi tahanan penculik,” katanya kepada pemberita selepas bertemu nelayan Indonesia di sini, hari ini.


Di Sabah terdapat kira-kira 1,700 rakyat Indonesia yang bekerja di sektor perikanan dengan 700 daripadanya adalah nelayan di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.


Dalam pada itu, Krishna mengingatkan majikan yang masih lagi menghantar nelayan Indonesia ke laut supaya bertanggungjawab sepenuhnya jika nelayan berkenaan diculik sewaktu bekerja.


“Majikan bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan isteri dan keluarga mangsa kerana mereka ini tidak ada pendapatan lain,” katanya.


Sementara itu Ketua Perwakilan KRI di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo menzahirkan terima kasih kepada saranan Ketua Menteri Sabah Datuk Mohd Shafie Apdal agar tindakan agresif perlu diambil terhadap penculik bersenjata berkenaan sebagai memberi pengajaran.


Djati turut mengingatkan majikan kapal nelayan agar melengkapkan kapal dengan peralatan komunikasi yang berfungsi baik.

“Selain nelayan Indonesia perlu menjalin hubungan baik dengan pasukan keselamatan di ESSZone,” katanya.

Selain itu menurutnya, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dengan memasang talian hotline ESSCom dan Konsulat Indonesia di semua kapal-kapal yang terdapat nelayan Indonesia di ESSZone.-BERNAMA

 



Indonesia mula proses hantar pulang nelayan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×