KUALA LUMPUR 17 Dis.- Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta supaya faktor Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak dijadikan alasan oleh mana-mana pemimpin UMNO yang mahu meninggalkan parti itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga mengingatkan bahawa rakyat juga tidak akan menyukai pemimpin yang mengkhianati perjuangan.
“Kepada mereka yg hendak tinggalkan UMNO, fikirlah bahawa kesetiaan adalah sifat terpuji. Rakyat terbanyak tidak suka kepada mereka yang khianati perjuangan dan tinggalkan kawan.
“Berhentilah jadikan Presiden UMNO sebagai alasan. Anda keluar atas sebab yang rasanya lebih kepada kepentingan peribadi,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya hari ini.
Sementara itu, Ahmad memberitahu bahawa beliau tidak akan memilih meninggalkan UMNO kerana parti telah banyak berjasa kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.
“Saya tidak akan keluar UMNO, saya menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 mewakili UMNO dengan lambang Barisan Nasional.
“UMNO telah banyak berjasa kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, saya telah aktif sejak awal jadi Pengerusi Kelab UMNO Wellington, New Zealand. UMNO demi agama, bangsa dan tanah air!,” katanya.- UTUSAN ONLINE










