KUALA LUMPU – Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang akan mengalami perubahan jadual waktu tren bermula 21 Disember hadapan berikutan kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih landasan.
KTM Bhd. dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perubahan itu dilaksanakan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad minggu keempat dan kelima Disember serta minggu pertama Januari 2019.
“Kerja-kerja penyelenggaraan landasan akan berlangsung terus-menerus selama 30 jam mulai hari Jumaat, pukul 11 malam dan akan tamat pada Ahad, 5.00 pagi mengikut tiga fasa dan hanya melibatkan tren komuter sahaja,” kata kenyataan itu.
Bagi fasa pertama yang bermula 21 Disember hingga 23 Disember, perubahan jadual waktu akan melibatkan 19 tren komuter (lapan tren dari KL Sentral dan 11 tren dari Pelabuhan Klang) sementara fasa kedua (28 Disember hingga 30 Disember) akan melibatkan 22 tren komuter (14 tren dari Pelabuhan Klang dan lapan tren dari KL Sentral).
Manakala fasa ketiga yang bermula 4 Jan hingga 6 Januari 2019 akan melibatkan enam tren iaitu satu tren dari KL Sentral dan lima dari Pelabuhan Klang. – Bernama










