Penolong pengurus Jabatan Pengarang akhbar The Star dipenjara 30 bulan, denda RM100,000 - Utusan Malaysia

Penolong pengurus Jabatan Pengarang akhbar The Star dipenjara 30 bulan, denda RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Seorang penolong pengurus di Jabatan Pengarang akhbar The Star dihukum penjara 30 bulan serta denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.

M. Youganesparan, 55, dijatuhkan hukuman tersebut selepas didapati bersalah menerima suapan wang tunai RM20,000 daripada seorang lelaki tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan.

Madihah turut mengarahkan tertuduh supaya menjalani hukuman penjara selama 18 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu dan menaikkan jaminan daripada RM30,000 kepada RM40,000.

Mengikut pertuduhan, Youganesparan didakwa menerima suapan berjumlah RM20,000 daripada Mohd. Emir Mavani Abdullah, 55, kononnya untuk diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes beliau yang disiasat agensi tersebut.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Dome cafe, Lot G20 Vista Power, The Intermark Jalan Tun Razak di sini pada pukul 9.15 malam, 30 Mei tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×