[VIDEO] Rangka remaja Mesolitik ditemui berlipat di Gua Chawan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Rangka remaja Mesolitik ditemui berlipat di Gua Chawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Rangka manusia zaman Mesolitik atau zaman batu pertengahan iyang hampir lengkap berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun ditemukan di tapak Gua Chawan, Lembah Nenggiri, Kelantan pada 2 November lalu.

Rangka yang dipercayai milik seorang remaja perempuan ditemui oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama pegawai Bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara dan penyelidik Jabatan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semasa menjalankan ekskavasi arkeologi di gua tersebut.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penemuan rangka manusia itu penting bagi arkeologi negara kerana dapat memberi fakta baharu terhadap amalan pengebumian dan budaya kehidupan zaman prasejarah di Malaysia.

Katanya, rangka manusia tersebut dijumpai dalam keadaan sedikit melipat dengan bahagian muka ke arah utara manakala bahagian lutut ke arah selatan.

“Rangka ini dipercayai remaja perempuan berdasarkan tulang pelvis yang dijumpai pada rangka tersebut.

“Ia dikebumikan dengan bahagian kaki dan kepala dilapik dengan batu kapur, tangan kanan memegang makanan berupa siput serta alat repeh. Terdapat juga batu pengisar-memukul yang diletakkan di bahagian kaki sebagai alat iringan si mati,” katanya dalam sidang akhar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata, sample gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat (AS) untuk memperoleh tarikh kronometrik.

Katanya, sebagai langkah awal, rangka manusia prasejarah telah dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 November lalu dan kini ditempatkan di makmal sementara kerja-kerja merekod dan pemuliharaan rangka secara menyeluruh.

Dalam pada itu, penyelidik turut menemui artifak cengekerang siput dan serpihan tembikar tanah dan alat litik seperti alat pengetuk dan alat batu pengisar. – UTUSAN ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×