KLANG – Hasrat sekumpulan penjenayah menyeludup masuk 130,000 kartun rokok putih dan 60 kotak arak pelbagai jenama bernilai RM12.9 juta menggunakan kapal sistem barter terbantut apabila diserbu Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Selangor di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu turut menahan seorang tekong dan sembilan kru warga Indonesia berusia 22 hingga 53 tahun.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, kejayaan tersebut hasil maklumat daripada komuniti nelayan di perairan Tanjung Karang yang melihat sebuah kapal dalam keadaan mencurigakan berulang-alik di kawasan tersebut.
Katanya, semasa dihampiri didapati kapal itu sedang bersauh dengan sebulah bot pancung dilihat merapatinya sebelum memecut laju sebaik menyedari kehadiran pihak kami.
“Hasil pemeriksaan terhadap kapal sepanjang 34 meter itu menemui 2,600 kotak rokok putih atau 130,000 kartun dan 60 kotak arak pelbagai jenama.
“Kita percaya kesemua rokok dan arak tersebut akan dipindahkan kepada beberapa bot pancung penyeludup untuk dibawa ke daratan,” katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Beliau menambah, siasatan awal mendapati kapal sistem barter itu berdaftar di negara Singapura.
Beliau menambah, siasatan awal mendapati kapal sistem barter itu berdaftar di negara Singapura.
Jelas Mohd. Zubil, rokok dan arak tersebut dipercayai untuk pengedaran sempena perayaan Krismas, Tahun Baru dan Tahun Baru Cina.
“Maritim Malaysia turut merampas kapal tersebut yang dianggarkan bernilai lebih RM1juta.
“Kesemua barangan rampasan termasuk suspek telah dibawa ke Jeti Pulau Indah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya. – K! ONLINE










