Kembali kritikal akibat jangkitan paru-paru - Utusan Malaysia

Kembali kritikal akibat jangkitan paru-paru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, kini kembali kritikal dan perlu menggunakan semula mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) selepas paru-parunya mengalami kemerosotan yang progresif akibat jangkitan.

Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan berkata, Muhammad Adib terpaksa menggunakan semula mesin ECMO kira-kira pukul 9 malam tadi selepas penilaian mendapati paru-parunya mengeras.

“Akibat paru-paru mengeras Muhammad Adib sukar mene­rima oksigen dan ini berpunca daripada kecederaan teruk di bahagian paru-parunya sejak awal.

“Pada masa sama, fungsi buah pinggangnya juga tidak menunjukkan sebarang perubahan yang mana dia terus memerlukan sokongan dialisis,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, berdasarkan keadaan kesihatan terkini Muhammad Adib, lawatan terhadapnya akan dihadkan.

“Sehubungan itu, kami minta seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan agar Muhammad Adib kembali pulih,” ujarnya.

Pada 11 Disember lalu, IJN memaklumkan Muhammad Adib tidak lagi memerlukan mesin ECMO untuk membantu pernafasannya.

Selain itu, pasukan doktor di IJN juga mengalihkan mesin sokongan jantung selepas jantungnya boleh berfungsi de­ngan sendiri pada awal bulan ini.

Muhammad Adib cedera parah dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini, 27 November lalu. Beliau sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×