KUALA LUMPUR 16 Dis. – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi bayangan bahawa beliau bersetuju jika Perhimpunan Agung UMNO Khas diadakan bagi membincangkan untung nasib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden UMNO itu dalam laman Instagram mencadangkan agar UMNO Bahagian seluruh negara mengusulkan perhimpunan tersebut.
“Bahagian-bahagian boleh usulkan persidangan khas,” katanya hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan tetap dengan pendiriannya untuk tidak tunduk terhadap desakan segelintir golongan yang mahu dirinya meletakkan jawatan dalam parti.
Beliau akan patuh hanya kepada peraturan dan Perlembagaan UMNO bagi mendapatkan dua pertiga majoriti perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas untuk menentukan dirinya kekal atau mengundurkan diri.
Sementara itu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa kepemimpinan tertinggi parti itu mengadakan segera mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, mesyuarat berkenaan akan menentukan hala tuju UMNO yang kini berdepan krisis dalaman amat genting.
“Jaminan harus diberi kepada akar umbi di setiap peringkat. Apakah langkah dan ketetapan kepemimpinan dalam mengurus krisis parti. Jangan berlengah, akar umbi mengharap!,” katanya.










