MELAKA 16 Dis. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka menerima penyertaan mana-mana pemimpin UMNO yang ingin ‘berhijrah’ namun perlu melalui kaedah ditetapkan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah menetapkan beberapa prosedur dan proses yang perlu dipatuhi setiap individu termasuklah pemimpin berpengaruh UMNO sebelum diterima menyertai parti berkenaan.
Menurutnya, Bersatu sudah menjelaskan dasarnya untuk membuka keahlian kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertai parti itu.
“Bagaimanapun, mereka yang merupakan bekas pemimpin UMNO, modus operandi yang kita cadangkan ialah mereka perlu isytiharkan keluar daripada UMNO terlebih dahulu.
“Bersatu ada proses dan prosedur yang kita tak buat secara automatik terima dengan membuta tuli. Ada juga antara mereka (pemimpin UMNO) yang kita tahu (mahu sertai Bersatu) awal-awal pun kita dah tolak,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Melaka di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, setiap permohonan baharu akan melalui proses saringan dan tapisan supaya penyertaan mereka dalam Bersatu tidak bercanggah dengan matlamat parti dan peraturan yang diamalkan parti.
“Selepas keluar UMNO atau mana-mana parti terdahulu, mereka perlu lalui tempoh masa cooling period sebelum menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Pada majlis sama, Bersatu Melaka turut menerima sebanyak 700 borang keahlian baharu termasuk daripada bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka ke-10, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Rosli Hasan.










