Ditinggal kekasih, wanita mengamuk kasari orang awam - Utusan Malaysia

Ditinggal kekasih, wanita mengamuk kasari orang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 16 Dis. – Gara-gara kecewa ditinggalkan kekasih, seorang wanita mengamuk sebelum mengasari beberapa orang awam dalam kejadian di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang, suspek yang dilihat tidak berpakaian lengkap dan berusia lingkungan 30-an itu dikatakan menghadapi tekanan perasaan selepas putus cinta.

Dia yang dipercayai berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat turut memegang pisau dan mengacukannya kepada orang ramai ketika mengamuk.

Menurut rakan-rakan wanita itu, suspek berada dalam keadaan tertekan disebabkan hubungan cintanya yang tidak menjadi.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, semasa tiba di lokasi kejadian dia melihat wanita berkenaan sedang memaki hamun sambil mengacukan pisau terhadap orang ramai.

“Saya lihat seorang kanak-kanak lelaki lebih kurang berusia tiga tahun, penginap hotel serta orang luar dikasari wanita itu.

“Seorang pekerja hotel juga turut dicakar sehingga berdarah di tepi kening dan muka sebelum diacukan pisau oleh wanita berkenaan. Saya ketika itu berada di sebelahnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, beberapa minit kemudian anggota polis tiba dan bertindak menahan serta merampas pisau daripada suspek.

“Wanita itu terus dibawa ke tempat tidak dipastikan untuk  mengelak daripada orang awam merakamkan gambar,” katanya.

Utusan Online sedang berusaha mendapatkan pengesahan daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×