JAKARTA 16 Dis. – Seorang ulama terkenal di Indonesia, KH. Buchori Amin (gambar) meninggal dunia semasa menyampaikan ceramah Maulidur Rasul di Pondok Pesantren (Ponpes) Al-Ishlahiyyah, mukim Singosari dekat daerah Malang, semalam.
Memetik laporan portal berita Okezone, ulama yang terkenal dengan gelaran Kiai Singa Podium itu menghembuskan nafas terakhir ketika duduk di atas kerusi di hadapan ribuan jemaah yang hadir kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan.
KH. Buchori ketika itu menyampaikan ceramah bertajuk ‘Nabi Muhammad Teladan Sejati’ sebelum dilaporkan terjatuh dan tidak sedarkan diri.
“Sungguh beruntungnya, orang yang tidak pernah bertemu saya,” kata-kata terakhirnya sebelum meninggal dunia.
Ketua Panitia Maulid Nabi Muhammad di Ponpes Al-Ishlahiyah, FathuL Wahab memberitahu, KH. Buchori rebah setelah 30 minit menyampaikan ceramahnya.
“Belum sampai 30 minit menyampaikan ceramah, mikrofon yang dipegangnya jatuh ke lantai,” katanya ketika dihubungi Okezone.
Ulama tersebut kemudiannya dikejarkan ke Pusat Perubatan Muslimat Singosari untuk diberikan rawatan.
Namun, doktor mengesahkan beliau telah meninggal dunia lebih awal ketika rebah di atas pentas. – AGENSI










